KOLEKSI PANTUN SELOKA MELAYU DALAM MAJLIS PERKAHWINAN


KOLEKSI PANTUN SELOKA MELAYU

DALAM MAJLIS PERKAHWINAN



Di bawah adakah beberapa koleksi pantun yang boleh digunakan sebagai pemanis kata sepanjang mengacarakan majlis perkahwinan. Pantun melayu merupakan salah satu bentuk puisi yang cukup indah dengan gabungan pembayang dan maksud yang mempunyai ritma yang sama di penghujung struktur ayatnya.

 

Lazimnya majlis perkahwinan kaum melayu di Malaysia selalu diserikan dengan sesi berbalas pantun antara kedua-dua pihak sebelum pengantin berarak menuju ke pelamin. Namun sebagaimana paluan kompang kini hanya menggunakan audio dan kadang-kala tidak dimainkan, amalan berbalas pantun juga tidak lagi diteruskan, kerana pada masa kini majlis dilihat lebih kepada ingin meraikan pengantin dan sesi bergambar di pelamin.

 

Justeru bagi mengelakkan warisan budaya bangsa terus tenggelam, menjadi tanggungjawab seorang pengacara majlis (emcee) untuk memasukkan serangkap dua pantun supaya "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

 

1. PANTUN SEMASA PENGANTIN TIBA

Orang ke laut menjala udang

Petang hari pasang pelita

Yang ditunggu sudah pun datang

Yang dinanti sudah pun tiba

 

Tanam serai berumpun-rumpun

Disiram air setiap hari

Lemah gemalai hayun tersusun

Maklumlah dipanggil raja sehari

 

Anak Cina memasang lukah

Lukah dipasang di Tanjung Selasih

Pasangan pengantin segak melangkah

Mara menuju mahligai kasih

 

2. PANTUN SELAMAT DATANG

Buah pauh mari dikerat

Alamat petang boleh dimakan

Pada yang jauh dan juga dekat

Selamat datang kami ucapkan

 

Pijat mati disarang kerengga

Anak murai saja berlari

Hajat hati sekelian keluarga

Hendak merai raja sehari

 

3. PANTUN DOA SELAMAT

Tetak buluh panjang sepuluh

Mari jolok sarang penyengat

Rafak susun jari sepuluh

Minta doa biarlah selamat

 

Kalau pergi Tanjung Keramat

Anak manis jangan diangkat

Bersama kita memohon rahmat

Moga majlis mendapat berkat 

 

4. PANTUN SEMASA TEPUNG TAWAR

Orang jauh dikenang-kenang

Hanya terkenang pada yang satu

Mula berkenalan kemudian bertunang

Akad dilaksana sama bersatu

 

Anak Cina mengail patin

Mengail patin di tepi titi

Senyum terukir pasangan pengantin

Tanda gembira penuh di hati

 

Berdua mencari renda

Dapat satu di Inderagiri

Doa daripada ayahanda bonda

Agar masjid kekal berdiri

 

Kelat mengkudu tiada bertanda

Patah dahan tempat berteduh

Berkat restu ayahanda bonda

Mudah-mudahan dipanjangkan jodoh

 

5. PANTUN MAKAN BERADAB

Puan dibawa ke Gunung Ledang

Dibawa dengan penuh beradab

Pinggan mangkuk telah terhidang

Kini tiba makan beradab

 

Semerbak haruman bunga seroja

Dibelai oleh dara pingitan

Lauk-pauk penuh semeja

Jemput semua menikmati hidangan

 

6. PANTUN PENUTUP

Tanam pisang tumbuh kelapa

Terbit bunga pucuknya mati

Budi semua tak kami lupa

Sudah terpaku di dalam hati

 

Tuan puteri tersenyum-senyum

Melihat laksamana bermain rodat

Senyum-senyum jangan tak senyum

Sudah sempurna segala adat

 

7. PANTUN TERIMA KASIH

Memang pipit memakan padi

Telah lagi diberi beras

Bukan sedikit tuan-tuan berbudi

Budimu tuan sukar dibalas

 

Nasi putih nasi lemak

Sajian makanan di waktu pagi

Terima kasih banyak-banyak

Sudi bertandang ke majlis kami

 

Kalau tidak kerana bulan

Tidak bintang terbit pagi

Kalau tidak kerana tuan

Tidak majlis sepermai ini

 

Hari ini menugal jagung

Hari esok memintal tali

Hari ini kita berkampung

Meraikan mempelai dua sejoli

 

Tiup serunai di atas kota

Uda memupuk bunga Melati

Mula kenal kemudian bercinta

Cinta tersemai di dalam hati

 

8. PANTUN USIK MENGUSIK

Sudah lama langsatnya condong

Barulah kini batangnya rebah

Sudah lama niat dikandung

baru sekarang diizinkan Allah

 

Orang membelat di tepi pantai

Banyak dapat ikan tembakul

Yang kami hajat sudah tercapai

Yang kami doakan sudah terkabul

 

Asal dari Bukit Siguntang

Kisah hikayat tidak terperi

Kami mengucap selamat datang

Hadir tuan menambah seri

 

Bagai ruas dengan buku

Bagai daging dengan kuku

Hidup di air satu perahu

Di darat satu kelambu

 

Menitis peluh merentas ladang

Hati-hati menjejak kaki

Sebaik saja sajian dihidang

Sudilah tuan-puan persilakan diri


Beli titi kayu belian

Belian dibeli dari ulu

Minta sudilah hadirin sekalian

Jangan segan jangan malu

 

Terima kasih kepada mereka yang telah menghasilkan atau mengumpulkan koleksi pantun ini. Saya hanya meneruskan pengumpulan koleksi pantun ini melalui hasil carian menerusi Google. Insyaallah, kita boleh guna bersama.

 

Sekiranya anda semua berminat mendapatkan khidmat Emcee Adam sebagai pengacara majlis (emcee) bagi majlis dan acara anda, serta jika ada sebarang pertanyaan dan ingin membuat tempahan, anda semua boleh hubungi dengan segera nombor telefon seperti di bawah.

 

EMCEE ADAM 01162099363

https://wa.me/601162099363





#emceeofmalaysia #pengacaramajlis #weddingplanner #majlisperkahwinan #professionalemcee #walimatulurus #majlispernikahan #malaywedding #galeriperkahwinan #pesonapengantin #pengantinbaru #emceekahwin #emceemalaysia #weddingemcee #weddingvenue #weddinghall #grandwedding #majlisresepsi #weddingcoordinator  #weddingday  #bilingualemcee #perkahwinanmelayu #majlisresepsi #resepsi #pertunangan #pernikahan #persandingan #perkahwinan

Catat Ulasan

0 Ulasan

RAKAMAN VIDEO

PROMOSI EMCEE KAHWIN